Rabu, 7 Oktober 2009

Isu makanan tamat tarikh luput jadi topik kedai kopi

PADANG 7 Okt. - Dakwaan bahawa Malaysia menghantar bantuan makanan tamat tarikh luput kepada mangsa gempa bumi menjadi topik perbualan hangat penduduk di sini.
Isu yang disensasikan oleh media Indonesia itu menyebabkan ramai di antara mereka bertindak mengecam Malaysia tanpa usul periksa.
Turut menerima tempias penulis dan jurufoto Utusan Malaysia, Ahmad Zakki Jilan yang singgah bersarapan di sebuah warung di Kota Pariaman, dekat sini, sebelum membuat liputan di kawasan perkampungan berdekatan.
Menyedari kami berasal dari Malaysia, beberapa penduduk tempatan terus bertanyakan mengenai bantuan makanan yang sudah tamat tarikh luput itu.
Kata mereka, perkara itu adalah sesuatu yang tidak wajar kerana ia bagaikan menghina mangsa gempa khususnya dan Indonesia amnya.
''Bapak dari Malaysia ya? Kenapa dihantar makanan yang sudah luput tarikh, tidak wajar bapak!'' katanya sambil menunjuk ke arah televisyen yang secara kebetulan menyiarkan berita yang memperkatakan mengenai isu itu.
Pertanyaan yang diajukan dalam nada menyindir itu menyebabkan Ahmad Zakki menjelaskan keadaan sebenar dengan menunjukkan foto pek makanan bantuan yang kebetulan berada dalam komputer ribanya.
Pada pek makanan itu tertera dengan jelas bahawa tarikh luput makanan berkenaan ialah November dan Disember ini.
Selepas melihat bukti itu, mereka menunjukkan sikap yang terbuka dan menyatakan kekesalan dengan laporan media Indonesia.
Malah, salah seorang daripada mereka, Perri, 40, menawarkan kepada kami untuk menjadi juru pandu secara sukarela.
Lebih menarik, beliau juga bertindak sebagai 'duta kecil' Malaysia dengan memberikan penerangan mengenai isu itu kepada penduduk kampung tempat kami melakukan tinjauan.
''Mereka menonton televisyen dan mempercayainya bulat-bulat,'' katanya.
Isu makanan bantuan tamat tarikh luput itu berpunca daripada penggunaan kotak lama untuk mengisi pek makanan berkenaan.
Pada kotak itu tertera tarikh 2008 yang sebenarnya sudah ditampal dengan kertas tertulis tarikh 2009, tetapi tertanggal dalam perjalanan ke sini. - Utusan

Tiada ulasan: