Rabu, 7 Oktober 2009

C130 TUDM dibaling batu: Hendak bantu pun gawat

APA yang ingin disampaikan melalui ruangan ini adalah kekesalan kita terhadap apa yang berlaku di Lapangan Terbang Padang, Sumatera Barat.
Ini bukan rekaan, tetapi kejadian ini berlaku ketika pesawat C130 Hercules TUDM hendak mendarat bagi tujuan bantuan kemanusiaan di Padang, lampu-lampu panduan di landasan tersebut mati secara tiba-tiba. Ini menyebabkan juruterbang tidak dapat mendaratkan pesawatnya dan terpaksa berlegar-legar beberapa kali di ruang udara sebelum dibenarkan mendarat.
Dan setelah selamat mendarat pula, lebih menyedihkan petugas di lapangan terbang mengenakan beberapa cukai (tax) terhadap beberapa barangan bantuan yang dibawa melalui pesawat tersebut, sedangkan mereka tahu kesemua barangan tersebut adalah untuk penduduknya sendiri.
Dan ada kalanya sehinggakan krew penerbangan kita, menyatakan bahawa sekiranya hendak dikenakan juga cukai, kami akan bawa balik semua bantuan tersebut. Kemudian barulah petugas tersebut membenarkan barang-barang itu diturunkan.
Begitu juga dengan kejadian pesawat kita dibaling dengan batu seperti kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Semua kejadian tersebut bukanlah rekaan semata-mata. Memang benar ia berlaku. Kita tidak hendak menyalahkan pemerintah Indonesia dan pegawai-pegawai kanannya.
Sememangnya pemerintah Indonesia serta pegawai kanannya memberikan laluan mudah untuk mana-mana pesawat atau kakitangan bantuan kemanusiaan yang hendak berurusan lebih-lebih lagi ketika Indonesia dilanda musibah.
Cuma pelaksanaan di peringkat petugas kakitangan pertengahan dan kakitangan bawahannya yang tidak peka atau pun perlu ‘disekolahkan’ semula agar memahami dalam situasi semasa ketika musibah berlaku.
Namun demikian kita merasa bangga, tahniah dan syabas kepada semua krew penerbangan pesawat C130 Hercules TUDM yang bertindak secara profesional dengan tidak mengikut rentak apa kejadian yang berlaku itu.
Inilah tahap persekolahan profesionalisme rakyat kita. Jika semua krew mengikut hati yang marah, mungkin sekotak air pun tidak diturunkan di lapangan terbang tersebut.
Apa yang kita hendak masyarakat di sana (Padang, Sumatera Barat) memahami dan hargailah apa yang rakyat Malaysia memberi bantuan dan jangan cuba menghalang atau membuat sesuatu yang boleh menyusahkan balik kepada mereka.
Malaysia tidak untung apa-apa pun hasil daripada misi bantuan kemanusiaan tersebut, sebaliknya kos penerbangan dan lain-lain kos adalah tanggungan kerajaan Malaysia sendiri.
Kita bantu adalah atas dasar kemanusiaan dan ‘Saudara Serumpun’ tidak lebih daripada itu. Tetapi kalau rakyat Malaysia sahaja yang memikirkan begitu, sebaliknya rakyat Indonesia kurang memikirkan demikian, maka jawapannya perlu dijawab sendiri oleh rakyat Indonesia.
Perlu diambil kira sebelum kejadian gempa bumi melanda Padang Sumatera Barat, masihkah semua anda ingat kejadian mempamerkan buluh runcing dan menahan pelancong dari negara kita (Malaysia) oleh segelintir rakyat Indonesia.
Kalaulah itu hendak diambil kira oleh kerajaan Malaysia manakala rakyat kita terikut-ikut rentak mereka, mungkin satu bantuan kemanusiaan pun tidak mungkin akan sampai di Padang Sumatera Barat.
Tetapi oleh kerana pemimpin tertinggi kedua-dua negara mempunyai hubungan yang begitu akrab, maka kita ketepikan apa kejadian yang berlaku itu.
Yang pentingnya akhbar-akhbar di Indonesia perlulah peka dan tidak membuat spekulasi yang bernokhtahkan tidak seimbang.
Pendedahan ini adalah bertujuan untuk kebaikan semua pihak yang terlibat supaya mengambil iktibar kejadian tersebut agar dapat membuka ‘mata’ sesiapa jua tanpa mempunyai sesuatu sebaliknya.-Sumber dari Utusan Malaysia-

Tiada ulasan: